Wednesday, January 25, 2012

Bagaimanakah Sakit Kepala yang disebabkan oleh tumor otak?


Bagaimanakah Sakit Kepala yang disebabkan oleh tumor otak?
 
Harus diingat bahawa, sakit kepala bukanlah tanda awal bagi sebarang ketumbuhan/tumor di dalam otak. Ianya selalunya bersama dengan tanda-tanda lain, atau pun sakit kepala terasa apabila tanda-tanda lain telah pun muncul.
Mungkin pesakit akan mendapat sawan dahulu, atau perubahan pada pandangan mata atau pendengarannya. Pesakit juga mungkin akan terasa tangan atau kakinya lemah, seorang-olah sedang menghadapi serangan stroke. Kadang-kala ingatan (memori)nya menjadi tidak menentu dan sering kali lupa.
Ada pesakit bertanyakan saya adakah sakit kepala yang disebabkan oleh   tumor  di kepala menyebabkan sakit kepala di awal pagi. Saya telah meneliti di beberapa journal, tiada bukti yang menyokong pendapat ini.
Sakit kepala disebabkan   tumor  otak selalunya akan bertambah teruk apabila saiznya bertambah membesar. Walau bagaimana pun tidak semua pesakit   tumor  otak yang menghadapi sakit kepala yang kuat, sehingga mengganggu routine hariannya.
Namun apabila sakit kepala menyerang, pesakit bisanya akan terjaga dari tidur seakan-akan ada sesuatu yang menyucuk di dalam tengkoraknya.
Ada pesakit yang tidak tahan dengan kesakitan ini, lalu menghantukkan kepalanya di dinding, sehingga luka di dahi dan keningnya berdarah. Hantukan ini menyebabkan terasa seperti satu kelegaaan sedikit kepada pesakit itu.
Sakit kepala itu selalunya digambarkn sebagai yang ”sukar digambarkan”, (pesakit selalu berkata kepada saya, susah hendak cerita macam mana sakit kepala itu).
Kadang kala sakit kepala itu berdenyut-denyut seperti migraine. Semakin hari sakit kepala bertambah kerap. Kalau dulu mungkin sebulan sekali, ianya bertambah menjdi seminggu sekali dan akhirnya menjadi setiap hari.
Tahap kesakitannya juga bertambah dan seterusnya akan kekal kesakitannya, susah mendapat kelegaan. Mungkin kalau dulu dengan sebiji panadol, ianya memberikan kelegaan, sekarang harus memakan dua biji panadol. Akhirnya mencuba ponstan, synflex, arcoxia dn lain ubat penahan sakit, namun kelegaannya hanya semantara.
Sakit kepala yang disebabkan oleh   tumor  otak juga bertambah dengan perubahan posisi. Apabila seorang pesakit cuba mengubah kedudukannya, sakit kepalanya bertambah teruk, terutama apabila dia cuba berbaring.
Batuk dan bersin juga menyebabkan tekanan di dalam tekorak (ICP) akan bertambah dan pesakit mengalami sakit kepala yang keterlaluan.
Saya membuat kesimpulan bahawa sakit kepala yang disebabkan oleh   tumor  otak adalah sangat kompleks dan ianya berbeza dari seorang ke seorang yang lain.

No comments:

Post a Comment